Sinopsis Novel Rahsia Hati

Akan datang drama adaptasi daripada Novel Rahsia Hati Karya Azimah Lily yang akan bersiaran mulai 16 Februari 2020 pada setiap Khamis hingga Ahad jam 7.00 malam di Slot Widuri TV1. Drama Rahsia Hati dibintangi oleh Nur Risteena, Syed Hasan Nabil, Alif Muhaimin, Shasha Abedul dan ramai lagi. 


NOVEL RAHSIA HATI
Berikut dikongsikan mengenai sinopsis novel ini. 

BLURB

Jika itu dugaan untukku, aku pasrah. Aku akan tempuhi semuanya dengan reda. Akan aku lindungi orang yang aku sayangi.

“Dalam usia muda, dia memegang jawatan Pengarah Urusan Global Bersatu. Dia juga merupakan nadi penggerak Global Bersatu sehingga Global Bersatu tersenarai sebagai antara sepuluh syarikat gergasi yang berjaya dan setaraf dengan syarikat gergasi lain di dunia. Dania juga pernah jadi cover majalah Dewan Perniagaan. Kau tahu tak majalah tu hanya akan menyiarkan berita tentang usahawan yang berjaya di Malaysia?”

TENGKU DANIA DAHLIA – Sebut sahaja namanya, semua akan terpegun. Kekayaannya menjadi sebutan. Keayuannya digilai sang jejaka. Namun dia menyimpan sebuah rahsia. Rahsia yang membuka kepada sebuah pintu kedukaan...

Setelah kepergian mama dan papanya dalam nahas yang dirancang, TENGKU DANIA DAHLIA bertekad habis-habisan melindungi satu-satunya adiknya, Tengku Daniel Darius.

“Papa... Mama... Lia janji selagi Lia bernafas, Lia akan jaga dan lindungi Daniel.”

Demi menjaga status, TENGKU DANIA DAHLIA ditunangkan tanpa rela oleh atuknya dengan HAIRI AZWAN. Bagai buku bertemu ruas, mereka sama-sama keras kepala, sama-sama angkuh.

“Perempuan macam kau tak layak menjadi isteri aku. Dasar perempuan pisau cukur. Kau hanya nak kikis harta aku. Aku benci perempuan macam kau.” - HAIRI AZWAN

“Aiii... Jika nak dibandingkan di antara harta aku dan harta kau, harta aku banyak lagi. Sepuluh kali ganda banyak daripada kau. Perasan lebih.” - TENGKU DANIA DAHLIA

Tapi orang kata, jangan terlalu membenci nanti lama-lama... jadi sayang. Ya. Akhirnya itulah yang berlaku!

Walau malu mengaku, mereka sebenarnya sama-sama sayang. Dalam diam-diam, ketegasan dan sikap terlalu melindungi TENGKU DANIA DAHLIA, si wanita korporat yang pandai bertumbuk meleburkan hati batu HAIRI AZWAN, si kaki perempuan.

Tapi kenapa TENGKU DANIA DAHLIA seolah-olah jual mahal? Apakah rahsia di sebalik penolakan lamaran HAIRI AZWAN? Apa benar benci yang dipamerkan? Atau hanya sekadar benci... tapi sayang?

SINOPSIS NOVEL RAHSIA HATI


Novel Rahsia Hati mengisahkan tentang kehidupan Tengku Dania Dahlia yang dikelilingi oleh orang yang penuh hasad dengki, tamak dan berpura-pura. Tengku Dania kehilangan kedua ibu bapanya sejak dari kecil lagi setelah terlibat dalam satu kemalangan yang dirancang. Semuanya hanyalah kerana harta yang diwarisi oleh papanya. 

Sejak itu, Tengku Dania dan adiknya, Tengku Daniel dibesarkan oleh datuknya Tan Sri Tengku Daud. Tengku Dania mewarisi syarikat milik datuknya iaitu Global Bersatu dan hidupnya sentiasa diatur oleh datuk tetapi tidak pada Daniel yang mahukan kebebasan. 

Pasangan Dania diatur bersama cucu kepada kenalan datuknya iaitu Hairi Azwan. Walaupun telah bertunang Hairi tidak pernah sekalipun bertanya khabar tentang dirinya. Pada Dania biarlah takdir yang menentukan status hubungannya itu. 

Sekembalinya Hairi keadaan yang sebelum ini tidak begitu baik terus berubah. Hairi betul-betul ingin mengenali siapa Dania kerana dia sudah mula jatuh cinta. Lain pula Dania yang tidak pernah ada masa untuk mengenali Hairi. Dania perlu melindungi Daniel daripada musuh yang membunuh ibu bapanya dulu. 

Dalam masa yang sama Dania disahkan menghidap sakit jantung dan perlukan pembedahan serta merta kerana keadaanya yang kritikal. Dania degil dan membantah kerana baginya mati itu pasti. Dia tidak mahu akibat pembedahan dia menjadi lemah dan tidak dapat melindungi Daniel. Dania mengambil keputusan memutuskan pertunangannya kerana dia tidak sanggup melihat orang yang disayangi akan meratapi pemergiannya. Baginya, kehilangan orang yang kita sayang amat menyakitkan. 
Sinopsis Novel Rahsia Hati Sinopsis Novel Rahsia Hati Reviewed by Bawang on Monday, February 17, 2020 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.