Sinopsis Novel Biar Mereka Cemburu

Jangan ketinggalan menyaksikan drama adaptasi daripada Novel Biar Mereka Cemburu karya A. Darwisy yang dijangka akan bersiaran tidak lama lagi di slot megadrama Astro Ria. Drama Biar Mereka Cemburu dibintangi oleh Aiman Hakim Ridza, Nabila Razali, Rubini, Izzat Mushtaq, Aedy Ashraf dan ramai lagi. 


NOVEL BIAR MEREKA CEMBURU
Berikut dikongsikan sinopsis mengenai novel ini. 

BLURB

Nadia, satu-satunya konduktor bas di KL ini yang kalau dirapikan penampilannya, pakai cantik-cantik, agaknya berduyun-duyun lelaki yang jatuh cinta. Tetapi dalam kesederhanaannya itu jugalah, dia masih berjaya menambat hati dua orang jejaka. Seorang pemandu bas dan seorang lagi anak tengku. Bukan main lagi kan? Dia keliru. Hendak memilih cinta yang mana satu sedangkan hendak bercinta pun dia tidak tahu!

Rostam, pemandu bas yang malu tapi mahu orangnya. Punyalah berat mulut hendak meluahkan perasaan kepada konduktor basnya sendiri. Apabila datang kekuatan dalam diri untuk berterus-terang, datang pula pesaing yang membuatkan dirinya rasa tercabar. Dia perlu cepat melafazkan kata-kata cinta tetapi sempatkah dia? Tapi jangan tak tahu, dia juga ada peminat fanatiknya sendiri. Tiap-tiap hari mengajaknya kahwin! Perempuan berani mati yang sanggup terjun bas apabila dia menolak cinta perempuan itu. Dahsyat!

Iedil, anak tengku, lelaki yang punya segala-galanya. Termasuklah kekasih hati. Tetapi entah bagaimana, boleh pula dia berkenan dengan konduktor bas seorang ini. Sampai sanggup naik bas tiap-tiap hari ke tempat kerja semata-mata mahu berjumpa dengan si konduktor cantik ini. Tapi bukan senang! Sebab dia kan sudah ada kekasih hati. Aduh, macam mana ni?
Pitam!!! Di sana menanti, di sini menunggu. Di kota Paris, Nadia membuat istikharah. Jangan main-main, istikharah di Paris! Kau mampu?

SINOPSIS NOVEL BIAR MEREKA CEMBURU

Mengisahkan tentang Nadia seorang konduktor bas yang cantik dan mempunyai minat dalam bidang fotografi dan sastera. Dia disayangi oleh dua orang lelaki. Seorang merupakan pemandu bas bernama Rostam yang sanggup melakukan apa sahaja untuk dirinya dan seorang lagi merupakan Penolong Pengarah yang kacak bernama Iedil. 


Nadia menyayangi Rostam seperti abangnya sendiri tapi Iedil pula mampu membuat hatinya bergetar. Nadia sedih bila Rostam kemalangan dan dia bertukar ganti dengan Sofea untuk menjaga Rostam. Bila Rostam menagih cintanya, Nadia kelu. 

Nadia ambil tindakan untuk ke Paris. Di sana dia melakukan istikharah. Iedil yang ikut serta rombongan ke Paris mengambil peluang untuk mendekati Nadia. Tetapi malang menimpa, Iedil ditembak oleh adik tirinya ketika pulang dari Paris. 

Sejak itu, Nadia sedar bahawa cintanya hanya untuk Iedil. Dalam masa yang sama, berlaku kemalangan yang telah meragut nyawa Rostam. Jantung Rostam didermakan kepada Iedil demi menyelamatkan nyawa Iedil. 

Setelah Iedil sihat, mereka bersetuju untuk berkahwin. Marsha yang cemburu cuba untuk merosakkan hari pernikahan mereka. Lantas Iedil rebah ketika Nadia ingin mengundurkan diri. Dapatkan Nadia dan Iedil bahagia ke akhirnya? Jom dapatkan novel ini untuk mengetahui kesudahan cerita. 
Sinopsis Novel Biar Mereka Cemburu Sinopsis Novel Biar Mereka Cemburu Reviewed by Bawang on Tuesday, August 25, 2020 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.