Sinopsis Novel Melastik Ke Hatimu

Sinopsis Novel Melastik Ke Hatimu | Nantikan drama terbaru adaptasi daripada Novel Melastik Ke Hatimu karya Aqma Dee yang dijangka akan bersiaran pada tahun 2021 di slot lestary. Drama Melastik Ke Hatimu dibintangi oleh Andi Bernadee, Janna Nick, Wani Kayrie, Puteri Sarah Liyana, Azrel Ismail, Norman Hakim, Datuk Jalaludin Hassan, Noniswara dan ramai lagi.
 

NOVEL MELASTIK KE HATIMU

BLURB

Haura Annisa, si gadis ‘gengster kilang’. Namun, siapa menduga kehidupannya terkongkong dan dikawal emaknya. Si emak nekad mahu menantu kaya!

“Yang awak bertenggek macam hantu atas jendela tu dah kenapa?”

“Saya ambil anginlah,” bohong Haura.

“Atas jendela? Dengan pakai tudung ekstra selipar berbulu ni sekali? Unik cara awak bersantai,” sindir Ziyyad.

ADUH! Tak dapat Haura bayangkan saat dia bergelar isteri kepada mamat ‘kayu cengal’ itu. Membosankan! Lagi dia rasa tercekik ada kawan macam Ain!

“Ikat? Maksud kau?” Berkerut dahi Haura. Tiba-tiba pula otaknya jadi tepu.

“Kalau kau betul-betul sayangkan Encik Ziyyad, kau kena ikat dia dengan anak. 

Maksud aku kau kena serahkan apa yang sepatutnya Encik Ziyyad dapat. Sekarang ni kau tak boleh bertindak slow macam siput sedut dah, kau kena laju macam arnab. Kalau tak kau akan menyesal,” sambung Ain lagi.

Si Haura ni kalau tak dihasut, memang macam itulah sampai ke sudah. Tak habis-habis nak malu. “Itu laki kau woi! Tak kan nak biarkan orang lain rampas. Aku tengok si Liya tu dah lain macam gayanya.”

“Kena ke?” Tertelan air liur Haura dengan apa yang baru Ain katakan. Seram sejuk pula dia dengan semangat Ain yang tiba-tiba tu. Suami aku, tapi dia yang beria.

NAMUN, saat cinta disulam, saat bahagia menjengah…

“Aku nak kau ceraikan anak aku!” - Mak Limah

“Awak dah pun mainkan saya. Maaf tu dah tak ada makna.” - Ziyyad

APAKAH pilihan Haura ketika bahagia mereka diuji?

SINOPSIS NOVEL MELASTIK KE HATIMU

Ziyyad merupakan pemilik kilang merangkap pengurus kilang dimana Haura Annisa bekerja. Haura berperwatakan sedikit kasar, hidup dikawal ketat oleh ibunya, Mak Limah yang mahukan Haura berkahwin dengan orang kaya. 

Kerana gula-gula getah, Ziyyad terjatuh hati sehingga dia nekad utk memperisterikan Haura walaupun terang-terangan dia tahu yang cinta Haura hanya untuk Naim. Namun kerana permintaan bapa yang sakit, Haura menerima Ziyyad menjadi suaminya walau banyak kali dia berusaha untuk mengagalkan perkahwinannya.

Baru cinta hendak berputik, Mak Limah mahu Ziyyad dan Haura bercerai. Mak Limah berusaha untuk memecahkan rumahtangga Ziyyad dan Haura disebabkan keadaan Ziyyad yang tidak punya apa-apa ketika itu. Mak Limah hanya pentingkan harta dari kebahagian hidup anaknya sendiri. Bagaimana pengakhirannya kisah mereka? Adakah Ziyyad dan Haura bahagia di akhirnya?


Cepat-cepat dia capai dompet dan telefon. Sebelum Ziyyad masuk, lebih baik dia segera beredar. Nasib baik dia ada selipar bulu-bulu, jadi bolehlah nak guna untuk sementara. Harap-harap orang tak pandang pelik pada aku nanti sebab pakai selipar yang diguna dalam rumah.

Nota ringkas yang mengatakan dia keluar dengan Naim sudah tertulis pada cermin menggunakan gincu.

"Curang-curang aku pun, aku minta izin okey tapi bukan depan-depanlah." Haura sengih tak bersalah.

Siap nota ditulis, dia apa lagi, terus panjat jendela. Masa tu dia dah gelengkan kepala. Kenapalah aku gedik sangat pakai skirt labuh hari ni? Kan dah susah nak panjat. Terpaksa selak kain sampai paras paha.

"Ini kalau tersilap langkah, boleh jatuh tersembam kat tanah ni."

Bila kedua-dua kaki sudah terjulur ke luar jendela, dia sudah bersedia untuk terjun. Belum sempat dia terjun, terasa hujung skirtnya tersepit pada engsel jendela. Cepat-cepat dia tarik namun ia seperti melekat di situ. Bila dalam keadaan kelam-kabut, semua benda jadi susah.

“Awak buat apa duduk atas jendela tu?”

Terkejut Haura dengan teguran yang tiba-tiba itu. Dia apa lagi, terus terterjunlah dari jendela dan soal hujung kainnya tersepit terus dia lupakan. Terkoyaklah skirt yang dia pakai. Bukan sikit, tapi terus terkoyak sampai ke paha. Malu dapat, sakit pun dapat. Nasib baik rumah papannya jenis rendah, kalau tinggi tadi boleh patah kaki dia.

“Astaghfirullahalazim… awak okey ke tak tu?” Soal Ziyyad dari jendela.

Terkejut dia bila melihat isterinya boleh pula bertenggek atas jendela malam-malam begini. Dah rupa macam orang kena rasuk pun ada. Tak sangka pula teguran dia tadi mengejutkan wanita itu. Itulah, siapa suruh duduk situ. Yang kelakarnya siap tertonggeng lagi.

“Issh! Sakitlah!” Marah Haura sedikit perlahan sambil menyapu lengan yang terlekat pasir.

“Ini kalau mak awak tahu, mesti awak kena marah kaw-kawlah kan? Dahlah masih anak dara, bertenggek pula di jendela.”

Terbeliak mata Haura mendengarkannya. Terketap terus bibirnya.

“Ehh...awak nak buat apa tu?” Haura bersuara melihatkan Ziyyad juga mula bertenggek di jendela.

“Nak juga saya rasa macam mana perasaan keluar rumah melalui tingkap ni.” Ziyyad sengih dan terjun ke bawah melalui jendela.

Buk! Tapak kakinya menapak di sisi Haura yang masih terduduk. Dibantu tubuh isterinya untuk bangun namun cepat pula tangan wanita itu menepis.

“Dalam keadaan begini pun, masih lagi awak sombong.” Dia dah boleh agak dan yakin ke mana Haura ingin pergi. Hebat betul cinta Naim ni sampai aku sebagai suami pun dia tak hormat.

“Kalau tinggi, dah lama saya mati tadi! Main sergah aje!” Marah Haura. Tudung bawal yang dipakai terus dibuka. Serabut pula dia rasa.

“Yang awak bertenggek macam hantu atas jendela tu dah kenapa?” Jeling Ziyyad. Masih berpura-pura tidak tahu.

Dia cuba kawal perasaan sebaik mungkin walaupun dalam hatinya begitu sakit dengan perbuatan Haura. Nasib baik dia cepat tadi, kalau tak memang seronoklah Haura boleh keluar dengan Naim.

“Saya ambil anginlah,” bohong Haura. Malu betul dia rasa ketika ini. Harap-harap dia tak baca lagi apa yang aku tulis pada cermin tadi.

“Atas jendela? Dengan pakai tudung ekstra selipar berbulu ni sekali? Unik cara awak bersantai,” sindir Ziyyad. Tak perlulah nak menipu Haura, aku dah tahu tujuan kau tu.

Haura buat tidak endah. Dia cuba untuk memanjat kembali jendela biliknya dari luar. Alang-alang dah turun ikut situ, lebih baik dia naik semula. Tak kan nak melintas depan mak pula. Kan pelik pula orang tua tu nanti.

Nak tergelak Ziyyad dengan perlakuan isterinya. Bila wanita itu menjeling, terus dia palingkan muka ke arah lain. Kelakar betul bila melihat Haura memanjat jendela yang gayanya seperti pencuri. Lagi lucu bila skirt yang dipakai terbelah dan menampakkan paha yang putih gebu itu.

“Kaki Encik Ziyyad dah kotor kan? Sila guna pintu depan ataupun belakang.” Bila dah masuk semula ke dalam bilik, terus dia tutup pintu jendela. Buat tak kisah pada Riyyad yang mendongak pandang dirinya. Lekas-lekas tisu dicapai lalu apa yang tertulis pada cermin dilap sebelum Ziyyad kembali ke bilik.

Bila telinganya menangkap bunyi tombol pintu dipulas, terus dia berlari ke katil dan duduk di situ gaya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Meh saya sapukan ubat,” pelawa Ziyyad.
Sebelum masuk ke dalam bilik tadi, dia sempat meminta ubat luka dengan mentuanya tadi. Bila ditanya untuk apa, dia beritahu yang jari Haura tersepit pintu almari. Tak kan nak beritahu yang Haura terjun jendela pula.

“Tak payahlah Encik Ziyyad. Sikit saja ni.” Haura menolak. Tertelan air liur bila tiba-tiba lelaki itu duduk rapat dengannya. Aroma dari tubuh itu betul-betul mengasyikkan.

“Kalau tak disapu ubat, nanti lagi teruk.” Ziyyad tetap tarik tangan isterinya. Lengan wanita itu dilap dengan tuala basah terlebih dahulu sebelum disapu ubat.

“Aww...” Haura mengadu sakit.

“Memanglah pedih sikit, tapi insya-Allah tak sakit dah lepas ni.” Ziyyad sengih, jeling isterinya.

Kali ini Haura biarkan sahaja perlakuan suaminya itu. Sesekali matanya mengerling wajah kacak milik Ziyyad. Nampak keikhlasan di situ. Dia baik sangat pada aku, tapi apa yang aku dah buat pada dia?
Sinopsis Novel Melastik Ke Hatimu Sinopsis Novel Melastik Ke Hatimu Reviewed by Bawang on Friday, November 20, 2020 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.