Sinopsis Novel Masih Ada Rindu

Sinopsis Novel Masih Ada Rindu. Jangan ketinggalan menyaksikan drama terbaru di slot akasia, Drama Masih Ada Rindu adaptasi daripada Novel Masih Ada Rindu karya Mimie Afinie yang akan bersiaran mulai Jun 2021 pada setiap isnin hingga ahad jam 7 malam. Drama Masih Ada Rindu dibarisi pelakon hebat seperti Mimi Lana, Farid Kamil, Dayang Areeda, Halim Radzi, Rahim Janilani, Kuna Muzani, Aleza Shadan, Fahmi Reza dan ramai lagi.


NOVEL MASIH ADA RINDU
Berikut dikongsikan maklumat mengenai novel ini. 

BLURB

MASIH terasa manisnya detik bulan madu apabila secara tiba-tiba Hakim pergi meninggalkannya. Pergi begitu sahaja, tanpa pamitan tanpa sebarang pesan. Lalu kepada siapa lagi harus dia bergantung harap? Kepada siapa lagi harus dia mengadu nasib? Apakah sepanjang usia dia harus mengendong duka ini?

Syafika sedar, air mata bukan penyelesai masalah. Tangisan juga tidak mampu merungkai segala kekusutan. Ada kala dia tidak setabah itu untuk menghadapinya berseorangan. Ada ketika dia tewas jua.

Tatkala hati masih dibalut lara, muncul insan lain yang sudi menjadi pengganti. Namun, cintanya terhadap Hakim terlalu mendalam dan tidak mungkin padam. Rindunya masih ada dan tetap menyala. Tapi dia sedar perjalanannya masih terlalu jauh. Dia tidak harus karam dalam badai kerinduan ini. Dia tidak harus hanyut dalam arus cinta yang bukan miliknya lagi. Akhirnya, dia nekad untuk menerima.

Sayangnya, di saat kelukaan hampir pulih dan hati mula belajar untuk menyayangi, hatinya dilukai. Kecewa dengan apa yang terjadi, dia nekad melarikan diri. Dalam pelarian itu dia mula merasakan sesuatu. Dalam benci, kiranya masih ada rindu buat si dia.

Dan tanpa disedari bibit-bibit cinta mula bersemi di hatinya.


SINOPSIS NOVEL MASIH ADA RINDU

Mengisahkan tentang Nurul Syafika dan Lukman Hakim yang telah mengambil keputusan untuk berkahwin ketika masih belajar. Perkahwinan itu mendapat tentangan hebat daripada ibu Syafiqa, Zaleha kerana menganggap dia terlalu muda untuk berkahwin. Syafika sah menjadi isteri Hakim dalam satu majlis ringkas di rumahnya.

Syafika bahagia disamping suaminya ditambah pula ibu dan ayah mertua menerimanya dengan baik. Dua bulan selepas berkahwin mereka pergi berbulan madu di sebuah pusat peranginan. Tidak disangka tiba-tiba Hakim diserang asma dan pergi meninggalkan Syafika buat selama-lamanya. Lebih memilukan lagi, Hakim pergi meninggalkannya ketika hari lahir Syafika. 

Pemergian Hakim mengejutkan semua. Syafika masih tidak dapat menerima kehilangan Hakim. Hakim mempunyai seorang abang, Hadi yang baru pulang dari luar negara tetapi tidak sempat jumpa.

Hadi dan keluarganya berusaha untuk menghilangkan kesedihan yang ditanggung oleh Syafika tetapi tidak berhasil. Pada suatu malam, Syafika didatangi Hakim dalam mimpinya dengan raut wajah yang sedih tanpa sebarang kata-kata. Tersedar dari tidur, Syafika merasakan kesedihan pada wajah Hakim adalah disebabkan dirinya yang seperti hilang ingatan. Syafika cuba bangkit dan kuatkan dirinya menerima takdir itu. Hadi tidak jemu memberikan kata-kata nasihat kepadanya.

Tidak lama selepas pemergian Hakim, Syafika disahkan mengandung. Hadi memberikan sepenuh perhatian kepada Syafika. Ketika itu, berputiknya cinta di hati Hadi. Syafika juga merasa yang sama, mula sayang dengan Hadi yang sentiasa ada disisinya dan memberi perhatian penuh kepadanya.

Syafika melahirkan seorang bayi lelaki, Adam yang sangat comel. Hadi bertindak seperti seorang ayah kepada bayi itu. Hadi meluahkan perasaannya untuk berkahwin dengan Syafika tetapi Syafika menetapkan syarat yang mereka akan berkahwin setelah adam sudah pandai berjalan. Ketika hampirnya saat bahagia itu, Hadi ada melakukan sesuatu perkara yang melukakan hati Syafika. Akibatnya, Syafiqa minta kebenaran untuk keluar dari rumah itu dan pergi menumpang di rumah kakaknya, Syazwani dan sepupunya, Nora.

Pemergian Syafika benar-benar membawa kesan dalam hidup Hadi. Dia tidak mampu melupakan Syafika yang amat disayanginya itu. Puas Hadi meminta maaf tetapi Syafika memerlukan masa untuk melupakannya. Bagaimanakah pengakhiran kisah cinta antara Syafika dan Hadi? Adakah Syafika mampu memaafkan Hadi yang pernah melukakan hatinya? Bagaimana juga hubungan Syafika dan ibunya? Jangan lupa untuk dapatkan novel ini untuk mengetahui pengakhiran kisah cinta antara Syafika dan Hadi.
Sinopsis Novel Masih Ada Rindu Sinopsis Novel Masih Ada Rindu Reviewed by Bawang on Thursday, May 27, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.