Sinopsis Novel Cinta Yang Pulang

Sinopsis Novel Cinta Yang Pulang. Saksikan drama terbaru di rtm tv2, Drama Cinta Yang Pulang adaptasi daripada Novel Cinta Yang Pulang karya Wawa Akil yang akan bersiaran bermula 4 September 2021 pada setiap hari khamis hingga sabtu jam 8 malam. Drama Cinta Yang Pulang dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat antaranya Izzue Islam, Ummi Nazeera, Fizz Fairuz, Jasmine Suraya, Amar Asyraf, Azwan Kombos, Raja Azmi, Kuna, Shah Iskandar dan ramai lagi.


NOVEL CINTA YANG PULANG
Berikut dikongsikan maklumat mengenai novel ini.

BLURB

Gadis itu pernah dihina. Pernah dimaki, dihamunnya hanya kerana sebuah fitnah. Apabila kebenaran terungkap gadis itu sudah pergi jauh dari pandangannya. Hanya yang tinggal rumah kosong yang tidak lagi berpenghuni.

12 tahun Noah Imran mengusung penyesalan itu. Penyesalan yang bukan sedikit. Memandang rumah jiran yang kosong itu membuatkan jiwanya makin sengsara. 

Kini, seorang Adina Insyirah sudah kembali. Jiwanya yang mati hidup semula. Namun sukarnya seorang Noah Imran untuk meraih sebuah kemaafan.

“Maafkan saya. Saya tahu silap saya bila menuduh awak macam-macam. Kita masih remaja masa tu. Langsung tak matang. Nak cakap pakat cakap saja, tak fikir apa perasaan orang lain. Hukumlah saya kalau itu boleh memuaskan hati awak. Boleh meredakan kemarahan awak.” – NOAH IMRAN

Dia dihina, dimaki bagaikan dia tiada maruah. Berbelas tahun kata-kata hinaan itu bermain di fikirannya. Jadi, bukan salahnya jika Noah dibencinya. Bukan saja dibencinya tapi mahu memandang wajah lelaki itu pun dia tak ingin.

“Awak kutuk saya. Awak maki saya, hina saya, awak buat saya seperti manusia tidak berguna. Saya ingat semua itu sampai sekarang. Tidak sikit pun saya mampu melupainya. Hanya perempuan bodoh saja boleh memaafkan apa yang berlaku. Selagi kata-kata itu melekat di sini, selagi itulah saya tak akan melupai.” – ADINA INSYIRAH

Namun perancangan ibu-ibu memang hebat. Mereka mahu disatukan. Kata Adina dia tidak sudi. Kata Noah lain pula. Stadium Nasional Bukit Jalil sanggup dia tadahkan. Inilah peluangnya untuk memiliki hati gadis itu.

“Apa nak malunya kalau itu sudah jodoh. Bukan kita boleh menolaknya. Lari jauh mana pun kalau cinta masih ada, dia akan kembali semula.” - DATIN HASANAH

Makin Adina menjauh, makin dekat pula Noah menghampiri. Apakah kesudahan cinta mereka. Adakah cinta itu akan kembali atau Noah Imran akan tunduk mengalah. Semuanya akan terjawab dalam Cinta Yang Pulang.


SINOPSIS NOVEL CINTA YANG PULANG

Mengisahkan tentang Adina Insyirah dan Noah Imran yang tinggal berjiran bersebelahan rumah. Ketika di usia 17 tahun, Noah pernah menyakiti Adina dengan menuduh Adina telah menyebarkan gambar tidak senonoh kekasihnya, Thia. Noah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik sehingga membuatkan Adina rasa maruahnya dipijak-pijak.

Selepas berlakunya peristiwa itu, Adina dan keluarganya berpindah ke luar negara kerana ayahnya bekerja di sana. Tidak lama pemergian Adina telah terbongkar kisah sebenar mengenai penyebaran gambar itu. Bukanlah Dina yang menyebarkannya. Akibat itu, Noah menyimpan rasa sesalnya terhadap Adina kerana menuduh Adina bukan-bukan apatah lagi dia kini sudah tidak dapat berjumpa dengan Adina.

12 tahun berlalu, Adina dan keluarganya pulang semula ke rumah mereka. Selama 12 tahun itu jugalah Noah mengharap moga ada ruang untuk dia memohon kemaafan daripada Adina. Noah masih setia bersama Thia tetapi makin lama dia mula tawar hati dengan kekasihnya itu yang terlalu bersosial. Noah mula rindukan Adina dan ingin bertemu dengan gadis yang pernah disakitinya dahulu.

Pertemuan semula Noah dan Adina membuka lembaran baru kerana Noah sudah mula jatuh cinta dengan gadis itu. Tetapi berbeza dengan Adina yang masih menyimpan marah dan dendam terhadap lelaki itu yang pernah menyakiti hatinya.

Noah tidak putus asa untuk memperbaiki hubungan mereka malah dia juga cuba memikat hati Adina. Perkara itu mendapat sokongan daripada kedua-dua keluarga. Dengan bantuan ibu mereka, Adina dipaksa bekerja sebagai pembantu peribadi Noah di syarikat miliknya. Noah sangat gembira kerana setiap masa buah hatinya akan berada di depan mata. Adik kembar Adina turut menyukai dan menyokong Noah untuk menjadi abang ipar mereka. Gelagat mereka sentiasa mencuit hati.

Keputusan Noah untuk memutuskan hubungannya dengan Thia telah menyebabkan Thia merasa tidak puas hati dan menaikkan kebenciannya terhadap Noah. Bukan senang Thia ingin melupakan hubungan itu yang telah dibina sekian lama hingga berbelas tahun lamanya. Thia mula merancang sesuatu dengan bantuan Datuk Saziman untuk menghalang hubungan Adina dan Noah. Datuk Aziman juga sudah lama menyimpan perasaan terhadap Adina tetapi tidak dilayan menyebabkan dirinya rasa sangat tercabar. Aziman mahu Adina tunduk kepadanya.

Bagaimanakah nasib Adina? Apakah rancangan yang telah diatur oleh Aziman dan Thia dalam usaha untuk mengganggu hubungan Adina dan Noah? Dapatkan Noah memiliki cinta Adina di akhirnya? Sama-sama kita dapatkan novel cinta yang pulang untuk mengikuti pengakhiran kisah hidup Noah dan Adina.
Sinopsis Novel Cinta Yang Pulang Sinopsis Novel Cinta Yang Pulang Reviewed by Bawang on Friday, September 03, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.