9 Resepi Masakan Telur

9 RESEPI MASAKAN TELUR. Tahukah anda telur adalah bahan yang paling mudah dan ringkas untuk dimasak. Dengan hanya menggunakan telur dan beberapa bahan lain kita dapat menyajikan hidangan sedap untuk seluruh keluarga. Telur digunakan secara meluas dalam masakan harian termasuklah  dalam pembuatan kek, kuih, puding dan pelbagai lagi. Di sini, kami ingin kongsikan beberapa resepi masakan menggunakan telur.


RESEPI MASAKAN TELUR

1) Resepi Telur Masak Sos

Bahan-bahan

5 biji telur
3 sudu besar cili kering (dikisar)
2 sudu besar bawang merah (dikisar)
5 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 biji bawang besar (dipotong bulat)
3 biji cili padi (dibelah dua)
Sedikit minyak
Garam dan gula
Sedikit air


Cara Penyediaan

Panaskan minyak dalam kuali. Telur digoreng menjadi telur mata. Sudah siap ketepikan.

Lebihan minyak panas tadi, masukkan bawang merah dan cili kering yang telah dikisar. Tumis sehingga naik minyak.

Masukkan sos cili, sos tomato dan sedikit gula. Kacau sehingga sebati.

Masukkan sedikit air. Jumlah air bergantung dengan citarasa kepekatan kuah masing-masing.

Perasakan dengan sedikit garam, masukkan bawang yang dipotong bulat dan beberapa biji cili padi.

Biar seketika dalam tempoh 10 minit sehingga kuah pekat.

Letakkan telur goreng di dalam pinggan dan tuang kuah tadi di atas telur tersebut.

2) Resepi Telur Rebus Air Asam

Bahan-bahan

Telur ( direbus )
1 biji bawang merah
5 biji cili padi
Air asam jawa
Belacan
Garam dan gula


Cara Penyediaan

Panaskan air dalam kuali dan rebus telur sehingga masak. Telur rebus separuh masak akan lebih sedap.

Hiris bawang merah dan cili padi.

Tumiskan bawang merah, cili dan sedikit belacan.

Masukkan air asam jawa dan perasakan dengan sedikit garam dan gula. Jika kuah terlalu pekat boleh tambah sedikit air.

Kupas kulit telur dan potong kepada dua bahagian. Masukkan dalam bekas.

Tuangkan kuah tadi di atas telur rebus. Siap.

3) Resepi Telur Masin Masak Lemak Cili Padi

Bahan-bahan

5 biji telur masin
1 batang serai (diketuk)
1 biji bawang besar (ditumbuk)
4 ulas bawang putih (ditumbuk)
3 biji cili merah (ditumbuk)
5 biji cili padi (ditumbuk)
1 sudu serbuk kunyit
1 mangkuk santan pekat
1 mangkuk santan cair
Sedikit garam


Cara Penyediaan

Masukkan santan cair, bahan-bahan yang ditumbuk, serai dan sedikit serbuk kunyit ke dalam kuali. Masak sehingga mendidih.

Pecahkan telur masin satu per satu di dalam kuali dan biarkan telur itu masak dengan perlahan.

Setelah telur mulai keras kacau perlahan-lahan dan masukkan santan pekat. Perasakan dengan garam dan biar seketika hingga mendidih. Siap.

4) Resepi Telur Rebus Masak Merah

Bahan-bahan

5 biji telur (direbus)
5 biji bawang merah (dikisar)
5 ulas bawang putih (dikisar)
4 sudu besar cili kering kisar
1 inci halia (dikisar)
10 biji cili merah (dikisar)
5 biji cili padi (dikisar)
4 sudu besar sos cili
1 biji bawang besar (dihiris)
1 biji tomato (dibelah empat)
Serbuk kunyit
Daun limau purut
Garam dan gula


Cara Penyediaan

Panaskan minyak dalam kuali. Gorengkan telur rebus tadi sebentar sehingga keperangan. Angkat dan ketepikan.

Masukkan bahan kisaran dan tumis sehingga pecah minyak.

Kemudian, masukkan sos cili, daun limau purut, serbuk kunyit, garam dan gula. Gaul sehingga sebati. Jika mahu sedikit cair boleh masukkan air.

Masukkan telur, tomato dan hirisan bawang besar. Biar seketika sehingga mendidih. Siap.

5) Resepi Kari Telur

Bahan-bahan

10 biji telur (direbus)
3 biji bawang merah (dikisar)
2 ulas bawang putih (dikisar)
1 inci halia (dikisar)
Bunga cengkih
Kulit kayu manis
Bunga lawang
Rempah kari daging
Kerisik
Santan
Garam
Air


Cara Penyediaan

Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bunga cengkih, kulit kayu manis dan bunga lawang.

Masukkan bahan kisaran dan biar sehingga bawang sedikit garing.

Masukkan rempah kari daging, gaul sebati dan biar seketika sehingga pecah minyak.

Kemudian, masukkan santan pekat, kerisik dan sedikit air. Kacau dan biar seketika.

Masukkan telur rebus dan perasakan dengan garam. Siap.

6) Resepi Telur Goreng Masak Kicap

Bahan-bahan

4 biji telur 
3 biji bawang kecil (dihiris)
2 ulas bawang putih (dihiris)
4 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos tiram
1 sudu lada putih
1/2 gelas air
5 biji cili padi (dihiris)


Cara penyediaan

Panaskan minyak dalam kuali dan goreng telur satu persatu menjadi telur mata.

Tumis bawang kecil, bawang putih dan cili padi sehingga naik bau.

Masukkan kicap manis, sos tiram, lada putih dan sedikit air. Biar hingga mendidih dan masukkan telur.

Biar seketika sehingga kuah pekat. Siap.

7) Resepi Telur Lemak Cendawan

Bahan-bahan

3 ulas bawang putih (dikisar)
5 ulas bawang merah (dikisar)
1 inci lengkuas (dikisar)
1 inci kunyit hidup (dikisar)
1 biji tomato
2 biji cili hijau (dikisar)
1 biji cili merah (dikisar)
5 biji telur
Cendawan
1 sudu cili kering dikisar
1 sudu kecil serbuk kari
1 asam keping
1 kotak santan
Air
Garam dan gula


Cara Penyediaan

Masukkan bahan kisar, cili kering, serbuk kari, santan dan air ke dalam kuali. Biar sehingga mendidih.

Masukkan cendawan, asam keping dan tomato. Biar seketika dan perasakan garam atau gula.

Pecahkan telur satu persatu di dalam kuah. Biar sehingga telur agak sedikit keras. Gaul perlahan-lahan jangan sampai santan pecah minyak. 

Bila kuah sudah pekat dan telur sudah masak boleh dihidangkan.

8) Resepi Sup Telur

Bahan-bahan

2 biji telur
Suhun (direndam)
1 ulas bawang putih (dihiris)7
1 biji bawang merah (dihiris)
2 biji cili padi (diketuk)
1 kiub pati ayam
Daun bawang (dihiris)
Garam jika perlu
Air


Cara Penyediaan

Tumiskan bawang putih, bawang merah dan cili padi sehingga naik bau. Masukkan air dan biar hingga mendidih.

Masukkan suhun dan kiub pati ayam. Pecahkan telur ke dalam kuah dan biar hingga sedikit keras. Perasakan dengan garam jika perlu.

Akhir sekali, taburkan daun bawang dan siap untuk dihidang.

9) Resepi Sambal Telur Hancur

Bahan-bahan

4 biji telur
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
5 sudu besar cili kisar
Sedikit air asam jawa
Garam dan gula


Cara Penyediaan

Kisarkan bawang merah dan bawang putih.

Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang dikisar dan cili sehingga pecah minyak.

Masukkan air asam jawa, garam dan gula. Kacau perlahan-lahan.

Bila kuah sudah mendidih dan agak pekat masukkan telur satu persatu.

Biar seketika telur dan kacau sehingga telur dan kuah sebati. Siap untuk dihidangkan.
9 Resepi Masakan Telur 9 Resepi Masakan Telur Reviewed by Bawang on Monday, April 04, 2022 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.